Pandemik Membawa Sinar: Perjalanan seorang trans wanita

“Jiwa saya semakin tenang dan damai setelah melalui kehidupan sebagai diri sendiri.”
Fasha Jaafar
Country:
Malaysia

I.

Masih segar dalam ingatan saya, saat pertama kali melangkah ke bangunan pejabat pada hari itu. Waktu itu adalah tahun kedua saya mula bekerja. Perasaan yang hadir bercampur baur. Ketika itu, saya sudah tekad untuk melalui satu proses transisi diri bagi meleraikan segala konflik yang terpendam. Sebuah peperangan dalaman sama ada untuk hidup sebagai diri sendiri atau tidak.

Bertahun-tahun hidup transwanita ini berperang dengan jiwa yang tidak selari dengan faktor luaran. Faktor luaran ini termasuklah pengenalan diri yang didaftarkan, didikan ibu bapa, peraturan sekolah dan banyak lagi yang hanya mempraktikkan sistem binari dalam kehidupan dan harus mengikut spesifikasi pembentukan masyarakat yang hanya tertumpu pada Cisgender lelaki dan wanita.  Inilah yang mewujudkan kesukaran pada komuniti minoriti yang lahir dengan identiti jantina yang berbeza. Kebanyakan trans wanita sebenarnya tahu dan kenal siapa diri mereka namun faktor persekitaran sering mentafsirkan sebaliknya.

Akhirnya tiba satu masa dimana saya tertanya, “Siapa yang harus menentukan hidup kita? Siapa yang harus menjalani hidup ini dengan aman dan jiwa yang damai? Dan hidup ini hidup siapa? Saya atau mereka?” Lantas, bermulalah kisah transisi diri.

Setiap transwanita mempunyai kisah ‘coming out’ mereka sendiri. Ada yang bermula dari zaman remaja, ada yang ketika dikala membina kehidupan ataupun di usia emas mereka. Itu bergantung pada faktor dan kekangan yang dihadapi ketika ruang masa tersebut. Dan bagi saya, walaupun sudah tahu identiti diri sejak usia 5 tahun lagi, namun hanya pada saat mula membina kerjaya barulah saya mempunyai keberanian melakukan transisi dan ketetapan hati itu bermula.

Ianya bukan satu langkah yang mudah, malah panjang. Banyak liku-liku hidup yang harus dilalui sebelum mampu mengekspresikan diri selari dengan identiti diri. Usah ditanya akan depresi, tekanan dan kerisauan sentiasa berlegar dalam diri sebelum mengakui dan menerima diri seadanya. Sesi linangan air mata sudah tidak terbilang lagi dalam mencari kedamaian.

Namun kekuatan itu hadir juga dan jiwa saya semakin tenang dan damai setelah melalui kehidupan sebagai diri sendiri. Antaranya, saya melangkah ke pejabat dengan pakaian yang feminin namun masih formal. Rambut sudah mula mengurai ke paras bahu. Walaupun ianya masih tidak mencapai kemahuan diri, namun ini sudah cukup membuatkan saya berasa gembira dan selesa. Yang diimpikan selama ini ibarat mimpi yang menjadi kenyataan. Selepas saya memulakan transisi tersebut, perasaan negatif yang selama ini selubungi diri saya hilang serta merta.

 

II.

Buat sementara waktu selepas itu, kehidupan berkejaya berlalu seperti biasa. Teman sepejabat memiliki persepsi tersendiri terhadap transisi saya. Ada yang selesa dan terima, tetapi tidak kurang juga yang bersikap mesra namun di belakang saya hanya Tuhan yang tahu isi hati mereka. Mungkin sahaja mereka mahu menunjukkan bahawa mereka bersikap profesional tapi mereka masih punya pendirian buruk terhadap manusia seperti saya. Dan anggapan saya itu ternyata benar.

Awan gelap akhirnya menjelma. Satu hari saya terdengar Pengurus saya dihubungi seseorang. Dan selepas perbualan dengan orang itu tamat, nama saya dipanggil. Saya melihat agak sukar bagi Pengurus saya untuk memulakan perbualan. Namun mahu tidak mahu, dia harus menyuarakan kerana ini berkaitan polisi syarikat.

Hati saya semakin berdebar. Saya tidak habis-habis berdoa semoga apa yang ditakuti ini tidak akan berlaku. Saat itu ibarat dentuman kilat yang menyambar apabila Pengurus saya memberitahu pihak Sumber Manusia (HR) menyuruh saya menggunting rambut mengikut kriteria pekerja lelaki di syarikat itu kerana ada staff yang membuat laporan. Jika tidak, tindakan tatatertib akan diambil. Dalam hati hanya Tuhan yang tahu betapa pilunya saya. Rambut yang dijaga rapi selama ini bakal diragut. Dek kerana pengetahuan yang kurang tentang hak pekerja dan warganegara, saya tidak mampu berkata apa-apa selain menerima arahan itu.

Kebetulan hari itu jatuh pada hari Jumaat dan saya punya dua hari untuk memikirkan langkah yang patut diambil. Saya cuba mendengar dan melihat amalan komuniti saya yang lain. Ada yang perlu memotong rambut ala “boyish cut”. Dan ada pula yang sanggup behenti kerja kerana tidak mahu berdepan dengan diskriminasi yang dihadapi.

Saya merintih dalam diri apa yang harus dilakukan. Cukuplah selama 24 tahun saya terpaksa berambut pendek kerana mengikut peraturan yang ditetapkan. Tidak lagi kali ini, saya tidak akan menjunamkan diri ke dalam lembah depresi itu lagi! 

Dalam kekusutan yang dihadapi, saya terdengar ada rakan komuniti yang memakai rambut palsu pendek ketika bekerja. Maka bermulalah perjalanan hidup berkerjaya yang baru. Asalkan rambut yang dimiliki tidak dipotong dan sisi feminin saya tidak direntap lagi, saya rela memakai rambut pendek ketika bekerja.

Bayangkan perubahan itu diamalkan selama 5 tahun. Betapa sukarnya setiap pagi harus bersiap dan saya melaluinya selama 5 hari seminggu dan 8 -10 jam sehari dengan penampilan sebegitu. Bagi orang lain, tekanan yang mereka hadapi mungkin sahaja kerana kerja dan isu pejabat yang perlu ditangani. Tetapi bagi komuniti trans wanita seperti saya, tekanan dan ketidakselesaan itu berlipat ganda. Bukan sahaja tekanan datang dari segi kerja namun rasa ketidakselesaan hadir dari pelbagai sudut termasuk tidak boleh menjadi diri sendiri dan rasa tidak selesa mengekspresikan diri mengikut polisi yang ditetapkan.

Dek kerana pengetahuan yang kurang tentang hak pekerja dan warganegara, saya tidak mampu berkata apa-apa selain menerima arahan itu.

III.

Semakin saya bergiat aktif dalam advokasi, pengetahuan tentang hak pekerja semakin mendalam. Satu perkara yang saya selalu tekankan dalam kerja advokasi yang dijalankan ialah Pengiktirafan Gender (gender recognition) . Ianya amat penting supaya menjamin hak kehidupan minoriti dan membolehkan setiap warganegara bebas bekerja, mendapatkan pendidikan dan menggunakan hak mereka untuk mengekspresikan diri. Dan saya tidak pernah berhenti untuk sebarkan kepada umum khususnya komuniti Trans supaya mengambil berat akan Polisi Kepelbagaian (Diversity policy) dan menekankan betapa perlunya ia diterapkan dalam syarikat ketika mereka memohon pekerjaan.

Saya tidak mahu kisah saya ini berlaku pada komuniti Transwanita lagi. Saya tidak mahu komuniti saya harus berdepan dengan dugaan dan situasi rumit sebegini. Ini amat penting bagi melahirkan pekerja yang efisen dan produktif tanpa sebarang penganiayaan berlaku.

Dalam mengharungi proses kehidupan yang mencabar, saya tidak berhenti untuk terus menimba ilmu dan meluaskan pemahaman tentang hak sebagai warganegara dan pekerja. Banyak seminar dan kegiatan advokasi dihadiri bagi memantapkan diri supaya menjadi benteng bagi saya melindungi diri dan mempertahankan hak saya dan komuniti saya.

Kini kebanyakan syarikat gergasi sudah mula mengorak langkah untuk mengimplementasikan Sustainable Development Goals (SDG) dalam pentadbiran supaya mereka kekal relevan dan berdaya saing. Dan ibarat sinar yang datang, salah satu misi dibawah SDG adalah Gender Equality dan United Nations amat mengambil berat akan isu yang dihadapi oleh komuniti Transgender supaya hak kami terbela.

 

IV.

Pada tahun 2020, ramai yang terkesan akibat dari pandemik Covid-19 yang berlaku.

Menyingkap kisah komuniti Trans ketika pandemik berlaku, ada komuniti Trans yang hilang pekerjaan kerana sesetengah industri tidak mencapai keuntungan dan tidak mampu bertahan. Mereka harus mencari peluang pekerjaan lain untuk mencari rezeki akibat ditamatkan perkhidmatan. Ada pula yang dikurangkan gaji mengikut bilangan hari bekerja sedangkan perintah kawalan yang dijalankan oleh kerajaan adalah untuk membendung penularan COVID-19. 

Bagi komuniti yang berbisnes pula, ada yang terkesan sehingga terpaksa menutup premis ataupun terus menanggung kerugian. Dan pastinya bagi yang tidak bekerja dan tiada tempat perlindungan, mereka harus melalui saat getir untuk mendapatkan bantuan makanan dan keperluan asas kerana proses pengagihan barang keperluan hanya tersedia di sesetengah kawasan sahaja.

Walaupun itu semua harus dihadapi dan ditambah dengan kegusaran dijangkiti virus COVID-19, saya melihat terdapat juga perubahan positif yang mula berlaku. Apabila bekerja di rumah, saya tidak lagi perlu berdepan dengan situasi yang rumit dan merimaskan seperti bekerja di pejabat  dengan memakai rambut palsu. Emosi dan konflik diri tidak perlu dihadapi lagi dan saya mampu memberikan sepenuh komitmen terhadap tugas saya dan terus produktif dalam pekerjaan saya.

Setelah setahun kita melalui kesan pandemik ini, saya sudah mula bekerja secara berjadual. Ada masa bekerja di rumah dan ada masa bila diperlukan, saya berada di pejabat. Dengan perkembangan ini, saya sudah berjaya mengekspresikan diri sebagai diri sendiri di tempat kerja. Dan saya dapat lihat komuniti saya yang bekerja di organisasi yang sama mula melalui perubahan seperti ini juga. Kami dapat mengekspresikan diri mengikut identiti jantina namun masih menjalankan kerja kami dengan professional.

Setakat ini, komunikasi antara pihak pentadbiran syarikat dan pekerja sudah lebih terbuka dan saya yakin perjuangan saya bagi mewakili diri dan komuniti bakal memberi satu impak positif kepada komuniti Transwanita dalam kerjaya kami. Sokongan moral dari rakan sepejabat juga memainkan peranan yang penting dan amat diharapkan.

Saya yakin ini merupakan titik permulaan yang baru bagi saya dan komuniti saya supaya kami dapat bekerja tanpa sebarang diskriminasi dan pencabulan hak asasi tidak berlaku kembali…

— Julai 2021

Emosi dan konflik diri tidak perlu dihadapi lagi dan saya mampu memberikan sepenuh komitmen terhadap tugas saya dan terus produktif dalam pekerjaan saya.

Kisah ini dikelolakan oleh Innovation for Change – East Asia’s. Ia adalah sebahagian daripada projek yang dipanggil ‘Ceritera COVID-19 dari komuniti terpinggir‘. Projek ini menghubungkan enam individu daripada komuniti terpinggir di Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina dan Vietnam dan memperlengkapkan mereka dengan kemahiran untuk berkongsi pengalaman peribadi dan juga pengajaran daripada pandemik itu.

‘Pandemic’s Silver Lining’ English version
Pandemic’s Silver Lining: A trans woman’s journey

‘Pandemic’s Silver Lining’ Chinese (Simplified) version
疫情之中的光芒: 跨性别女士的心路历程

‘Pandemic’s Silver Lining’ Korean version
팬데믹의 희망: 트랜스 젠더 여성의 여정

Collaborators

Ini adalah teks asal ditulis dalam bahasa Melayu oleh Fasha Jaafar. Ia disunting dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Ooi Kok Hin. Ilustrasi direka oleh Space

Fasha Jaafar bekerja sebagai Penganalisa Data di Kuala Lumpur. Beliau seorang trans wanita yang juga aktif dalam ruang masyarakat sivil tempatan di mana sentiasa memperjuangkan hak komuniti trans.

Stories

Filter By:
Issue
Libraries - Issues
Media
Libraries - Format
Language
Libraries - Language
LoR_Karminn_Adodit_Thumbnail_Web
Philippines
The Isnag of Kabugao and Karminn C.D. Daytec Yañgot, with the assistance of JP Reginaldo
An adodit of resistance, resurgence, and reparation: the struggle for self-determination by the indigenous Isnag of Kabugao, located in the northern Philippines.
7
Thailand
Mis.lalita and Phitchayetsaphong Khurupratchamak "Berm"
Uncle Jamrat and Auntie Cream have been fishing in the Ing River all their lives. But the 13 dams constructed by China on the Mekong have strangled their river. And there are more to come.