“Makcik, ke mana mereka nak bawa Atuk?”
Delaram tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada soalan yang dilontarkan Fereshteh, anak saudaranya itu. Bagaimana mungkin dapat dia menjawab sedangkan dirinya sendiri bertarung dengan seribu pertanyaan. Keluarga berlimanya tidak lengkap malam ini. Keperitan hatinya hanya Tuhan yang tahu.
Dara 17 tahun itu baru sahaja berhenti mengambil ubat anti-kemurungan dan masih belum pulih sepenuhnya. Dalam keluarga itu, Delaram bagaikan ibu buat kedua anak saudara perempuannya dan jururawat kepada ayahnya yang sakit tua. Dialah yang membantu emaknya dengan kerja-kerja rumah dan turut menjaga kedua kakaknya yang tidak lagi mampu bergerak mengalami insiden yang memerlukan pembedahan. Bagai jatuh ditimpa tangga, malam itu rasa murung mula menyelimuti dirinya.
Pada petang Isnin, Delaram sampai ke rumah lewat dari kebiasaan dan perasan yang ayahnya kurang sihat. Tidaklah dia tahu apa puncanya sehingga Delaram mula takut dan gusar. Tiga hari yang lepas, sampai khabar yang Covid-19 sudah mula merebak ke pangsapuri mereka. Seorang jirannya berbangsa Afghan menjadi mangsa pertama di situ. Tiada siapa dikalangan tetangga yang tahu pada mulanya mengapa wanita Afghan itu dimasukkan ke hospital secara rahsia. Kebanyakan mereka keluarga pelarian akan cuba merahsiakan perkara ini, mungkin kerana malu dan takut dengan kejian serta buruk sangka orang sekeliling, mereka selalunya akan merana sendiri dalam diam.
Segala macam fikiran yang terbit dalam akal Delaram. Sebagai seorang pelarian, mana mungkin dia mampu untuk membayar harga ujian untuk Covid-19, dan dia juga tidak mempunyai pengalaman yang baik di hospital Malaysia. Dia, seorang pelarian yang tidak bisa bertutur dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris dengan fasih. Dia, seorang pelarian yang kehilangan pekerjaan dan sumber rezeki buat keluarganya beberapa hari yang lepas. Dia, yang sendiri masih seorang anak muda menjadi pelarian di negeri orang. Delaram memejamkan mata dengan tangan mengingkari dahi; dalam keluhan lelahnya dia berkata pada diri yang mungkin ayahnya tidaklah seperti jiran mereka. Delaram juga tahu yang dia tidak mampu menghadapi semua ini sendiri, tapi tidaklah dia tahu siapakah yang dapat membantu mereka atau ke manakah boleh dia cari bantuan?
Rasa takut dan kerisauan berkecamuk membuatkan Delaram tidak mampu berfikir untuk membuat keputusan. Namun, melihat keadaan ayahnya bergelumang kesakitan seperti itu bukanlah mudah, akhirnya Delaram teringatkan jirannya yang pernah memanggil ambulans ke kawasan pangsapuri mereka. Terus sahaja dia menelefon Habib, anak jirannya itu, meminta pertolongan.
Habib perasan yang Delaram sendiri pun tidak berapa sihat. Habib berikan nombor ambulans kepada Delaram tapi masalahnya pula Delaram tidak mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris, lalu Habib mengambil keputusan untuk menelefon ambulans bagi pihak Delaram dan ayahnya untuk dibawa ke hospital.
Usai sampai di Hospital Ampang, ayahnya dibawa ke tempat berasingan kerana pihak hospital curiga yang ayahnya itu sudah dijangkiti Covid-19. Sebaik sebelum dibawa perlu untuk diuji, ayah tua itu berbisik ke dalam telingan anaknya. Pesanannya hampir buat Delaram luluh jiwa. Walaupun ucapannya pendek, namun raut muka ayahnya membuatkan hati Delaram menanggung berat.
Tiadalah apa lagi yang boleh Delaram buat di situ selain pulang ke rumah bersendirian. Rasa murung memenuhi ruang rumah mereka sebaik sahaja Delaram khabarkan apa yang berlaku dan terlintas di fikirannya untuk menghubungi Mohammad agar dapat dia meminta pertolongan.
Muhammad adalah seorang teruna muda dari komuniti Afghan yang pernah membantu mereka dengan terjemahan. Tanpa berlengah, Delaram terus berhubung dengan Muhammad dan diceritakan apa yang berlaku, di mana ayahnya, serta keadaan terkini sebelum Delaram pulang ke rumah. Tidak tertahan lagi rasa sebak di dadanya semasa dia menceritakan hal mereka lalu Delaram menangis teresak sambil bercakap dengan Muhammad. Muhammad dengan tenang memujuk Delaram sehingga anak perempuan itu kembali bertenang dan dipesannya untuk menulis semua maklumat tentang ayahnya, hospital, dan bahagian wad di mana mereka membawa lelaki tua itu.
Hari semakin lewat dan Delaram teringat yang kakaknya, Elena, ada temujanji dengan doktor keesokan harinya. Elena mengalami kecederaan di kepala yang mengakibatkan rasa pening yang tidak berhenti dan memerlukan rawatan setiap bulan di hospital. Delaram membuat keputusan untuk membawa kakaknya esok sebelum mula menyediakan makan malam keluarganya.
Betapa dinginnya rasa ruang rumah mereka malam itu! Setelah enam tahun hidup melarat di Malaysia, jerih perit sudah menjadi ruji mereka namun malam itu, mereka terasa seakan lemas dalam kerisauan ditambat rasa murung. Malam itu, hanya mereka berempat. Fareshteh, anak saudara perempuannya usia enam tahun tiba-tiba bersuara, “Makcik, mana Atuk?”
Delaram masih dibelenggu bermacam-macam fikiran sebelum tersedar yang anak saudaranya menanyakan soalan. Sebelum sempat dia menjawab, telefonnya berdering.
“Hello?”
“Hello, ini Delaram, anak Ahmad?”
“Ya, saya Delaram.”
“Saya Sara dari Hospital Ampang. Saya telefon ini untuk maklumkan yang ayah cik telah dijangkiti Coronavirus, dan keadaannya tidak baik. Jadi cik sekeluarga perlu kuarantinkan diri dan jika sesiapa ada menunjukkan simptom seperti batuk, tidak cukup nafas, kelesuan, atau kehilangan deria rasa dan bau, cik perlu buat ujian Covid-19 serta merta.”
Panggilan ditamatkan begitu sahaja.
Kerana jurang bahasa, Delaram cuma dapat menangkap dari perbualan itu yang bapanya dijangkiti Coronavirus. Ayahnya yang sedia sakit itu menjadi semakin lemah. Delaram tidak dapat menerima hakikat ini dan menjadi semakin buntu.
Siapa yang boleh dia hubungi? Siapa yang boleh membantu mereka? Apakah dia perlu pergi membawa pulang ayahnya? Apa yang perlu dia lakukan sekarang?
Muhammad terlintas kembali difikirannya dengan dengan pantas Delaram menelefon kawannya itu.
“Boleh kau tanyakan bila ayah aku boleh pulang?” kata Delaram pada Muhammad.
Muhammad berhubung dengan pihak hospital untuk bertanyakan maklumat. Sebaik selesai, dia tinggalkan pesanan suara buat Delaram dan menerangkan yang ayahnya akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh. Muhammad juga menasihati Sekarang sekeluarga untuk membuat ujian saringan Covid-19.
Rasa bergolak dalam dada membuatkan Delaram semakin resah. Hospital Sungai Buloh letaknya jauh dari mereka dan sarat dengan pesakit-pesakit Covid-19. Delaram risau yang ayahnya, seorang pelarian, tidak akan dapat rawatan setimpal seperti orang lain dan jarak mereka akan mengakibatkan dia tidak dapat membantu ayahnya.
Terngiang di telinga kata-kata ayahnya tadi, “Anak, kau akan tinggalkan ayah di sini dan tak kembali?”
Seperti anak kecil yang sesat berjalan, Delaram menjadi semakin gusar. Tiba-tiba dia teringatkan Rashad, seorang lelaki baik kenalannya yang pernah mementaskan persembahan teater dengan anak-anak muda komuniti pelarian untuk menampilkan representasi lebih molek buat komuniti mereka. Delaram juga tahu yang Rashad banyak membantu mereka yang memerlukan. Setelah bercakap dengan Rashad dan dipesan untuk kekal tenang, Rashad berjanji untuk membantu keluarga itu sebaik mungkin.
Delaram rasa sedikit tenang namun suara ayahnya masih terngiang, “Anak, kau mahu tinggalkan ayah di sini?”
Sekarang cuba menelefon hospital berkali-kali namun tiada jawapan. Dicubanya berkali-kali sehingga lewat malam barulah ada yang menjawab panggilan.
Dia cuba menerangkan pada si fulan yang menjawab panggilan itu yang dia perlu bercakap dengan ayahnya untuk menerangkan keadaan yang sebenar dan bukan niatnya untuk tinggalkan orang tua itu bersendirian, dan dia mahu datang melawat tapi tidak diizinkan. Pekerja hospital itu memberitahu Delaram yang dia tidak boleh berbual dengan ayahnya sekarang dan terus memutuskan talian.
Sedang dia terus menanggung risau, Delaram mula sedar yang batuknya juga semakin teruk dan dia sekeluarga perlu menjalani ujian saringan Covid-19. Tapi di manakah mereka mahu mendapat wang untuk ujian saringan itu? Ujian percuma tidak ditawarkan pada mereka sebagai pelarian. Keesokkan harinya, Delaram pergi ke pejabat komuniti pelarian Afghan and meminta bantuan. Nasib menyebelahi mereka, pejabat komuniti itu mengumpul sejumlah wang untuk dia sekeluarga menjalankan ujian saringan.
Ibunya bernasib baik kerana diuji negatif, namun Delaran didapati positif. Maka dia terpaksa menjalani kuarantin di pusat kuarantin selama dua minggu, jauh dari keluarganya. Muhammad dihubunginya kembali untuk mendapatkan nasihat.
Muhammad mencadangkan untuk Delaran berhubung dengan Habib, anak jiran mereka, dan meminta bantuan Habib bagi menghantar makanan serta telefon bimbit kepada ayah Delaran. Pada malam yang mana Delaran diberitahu ayahnya sudah menerima telefon itu, tanpa berlengah terus Delaram membuat panggilan video.
Ayah Delaran yang bersendirian buat sekian harinya dilanda kerisauan dan menanggung sakit mula ceria bila melihat wajah dan mendengar suara anaknya di paparan telefon.
“Baba, saya juga dipaksa kuarantin di pusat, lain dari tempat Baba. Saya baik sahaja. Saya cuba segala cara untuk datang berjumpa Baba tapi mereka tak benarkan. Saya cuma nak beritahu yang kami semua sayangkan Baba. Semoga cepat Baba sembuh. Rumah kita tanpa Baba, seperti ruang yang tiada udara…”
— Julai 2021
Kisah ini dikelolakan oleh Innovation for Change – East Asia’s. Ia adalah sebahagian daripada projek yang dipanggil ‘Ceritera COVID-19 dari komuniti terpinggir‘. Projek ini menghubungkan enam individu daripada komuniti terpinggir di Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina dan Vietnam dan memperlengkapkan mereka dengan kemahiran untuk berkongsi pengalaman peribadi dan juga pengajaran daripada pandemik itu.
Delaram English version
Delaram: A refugee’s COVID story
Delaram Chinese (Simplified) version
德拉拉姆: 一名难民的 COVID 故事
Delaram Korean version
델라람(Delaram): 한 난민의 코로나 이야기
Click here for the English version of the story.
Karangan asal dalam Bahasa Farsi oleh Esmail Ghaibi
Disunting dan diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh Saleh Sepas
dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh Aiman Azahari
Lukisan oleh Ang Hui Qing
Mohammad Esmail Ghaibi ialah seorang pelarian Afghanistan yang kini menetap di Kanada. Dia menulis kisah ini semasa di Kuala Lumpur, Malaysia sambil menunggu penempatan semula.
Di Malaysia, beliau bekerja dengan Health Equity Initiatives dan Pusat Komuniti Afghanistan di Malaysia untuk memberikan bantuan perkhidmatan kesihatan mental kepada komunitinya semasa pandemik COVID-19. Dia juga seorang aktivis komuniti dengan Asylum Access Malaysia, dan pernah menjadi sukarelawan dengan pasukan HUMA